Pada permulaannya, virus H5N1 dikesan di Kg Pulau Tebu, Tunjong, Kota Bharu pada 6 Mac lepas selepas beberapa ekor unggas peliharaan mati.
Setelah 9 hari, wabak ini telah merebak ke Pasir Mas, Bachok dan Pasir Puteh sebagaimana diumumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Teknologi Hijau Negeri Kelantan, Datuk Che Abdullah Mat Nawi.
Menurut beliau lagi, sehingga kini, sebanyak 23,768 unggas dan 881 telur dimusnahkan,membabitkan sebanyak 129 premis sebagai langkah pencegahan.
Kerjasama aktif ini diterajui kerajaan negeri, dengan bantuan Jabatan Veterinar, Jabatan Kesihatan dan polis, sedang dilakukan dalam menggencarkan aktiviti kawalan.
Namun, tular juga di media sosial berkaitan isu selsema burung. Ada pihak yang memberikan info-info tidak sahih sehingga menimbulkan aura panik kepada penduduk Kelantan secara khusus.
Berikut merupakan kumpulan soalan yang sering ditanya yang disediakan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
*Soalan Sering Ditanyakan : H5N1 Influenza*
*Oleh World Health Organization(WHO)*
*Soalan 1 :*
Apa itu H5N1?
*Jawapan :*
H5N1 adalah virus influenza yang sangat mudah berjangkit, menyebabkan penyakit pernafasan di kalangan ungags dan dikenali sebagai Avian Influenza (Selsema Burung). Avian Influenza H5N1 sangat jarang berlaku di kalangan manusia dan proses transmisi (penyebaran) jangkitan dari manusia ke manusia juga sangat sukar untuk berlaku. Namun, apabila manusia dijangkiti , kadar kematian adalah 60%, di mana jika 10 orang manusia dijangkiti, maka 6 orang akan maut.
*Soalan 2 :*
Bagaimana H5N1 disebarkan kepada manusia?
*Jawapan :*
Kebanyakan kes jangkitan H5N1 kepada manusia dikaitkan hubungan rapat dengan unggas yang dijangkiti atau unggas mati dan persekitaran yang tercemar dengan virus influenza H5N1. Virus ini tidak menjangkiti manusia dengan mudah dan jangkitan dari manusia kepada manusia adalah sangat jarang. Tiada bukti bahawa penyakit ini berjangkit melalui makanan yang dimasak.
*Soalan 3 :*
Mengapa perlu mengambil berat tentang influenza H5N1?
*Jawapan :*
Jangkitan influenza H5N1 di kalangan manusia boleh menyebabkan kesan yang teruk dan mengakibatkan kadar kematian yang tinggi.Jika virus influenza H5N1 berubah secara genetik dan memudahkan jangkitan sesama manusia seterusnya masih mengekalkan kapasiti untuk mengakibatkan kesan penyakit yang teruk ; impaknya kepada kesihatan awam sejagat amatlah buruk.
*Soalan 4 :*
Kenapa virus influenza H5N1 boleh berubah?
*Jawapan :*
Virus influenza H5N1 secara berkala boleh mengalami perubahan genetik. Maka, perhatian penuh perlu diberikan seandainya jangkitan sesama manusia menjadi lebih mudah.
*Soalan 5 :*
Apakah tanda-tanda gejala influenza H5N1 di kalangan manusia?
*Jawapan :*
Gejala influenza H5N1 ialah demam (biasanya demam panas melebihi 38 ◦C), letih, batuk, sakit tekak dan sakit otot. Gejala awal yang lain ialah sakit perut, sakit dada, dan cirit birit. Penyakit ini boleh menjadi penyakit pernafasan yang teruk seperti kesukaran bernafas, pneumonia dan mengganggu paras kesedaran/ sawan.
*Soalan 6 :*
Adakah selamat untuk makan ayam, bahan tenusu dan burung liar?
*Jawapan :*
Ya, adalah selamat untuk makan ayam yang telah dimasak. Virus ini sangat sensitif apabila dipanaskan. Suhu yang digunakan untuk memasaka (melebihi 70◦C) akan membunuh virus ini.Bagi mengelakkan ayam, bahan tenusu dan burung liar tercemar, penyediaan makanan mestilah dengan menggunakan amalan keselamatan makanan dan makanan dimasak dengan sempurna.
Sehingga kini, kebanyakan jangkitan virus influenza H5N1 di kalangan manusia dikaitkan dengan penyembelihan unggas dan kontak secara langsung dengan unggas yang sudah disembelih, sebelum proses memasak. Amalan sebegini merupakan faktor risiko tertinggi untuk berlakunya jangkitan di kalangan manusia.
*Soalan 7 :*
Bagaimana influenza H5N1 dirawat?
*Jawapan :*
Dalam kebanyakan kes, influenza H5N1 di kalangan manusia akan menjadi penyakit yang teruk dan memerlukan rawatan lanjut di hospital. Ubat antiviral, Osetalmivir boleh menurunkan kejadian kes yang teruk dan kematian.
*Soalan 8 :*
Apakah vaksin berupaya untuk menghalang daripada jangkitan Avian Influenza H5N1?
*Jawapan :*
Vaksin Influenza H5N1 sedang dihasilkan dan masih dalam proses uji kaji.
*Soalan 9 :*
Adakah vaksin selsema bermusim boleh memberi perlindungan daripada virus influenza H5N1?
*Jawapan :*
Vaksin influenza bermusim tidak memberi perlindungan kepada jangkitan influenza H5N1.
*Soalan 10 :*
Apakah tindakan WHO terhadap kejadian influenza H5N1?
*Jawapan :*
WHO telah bekerjasama dengan negara-negara yang terbabit untuk mengesan dan menguruskan kes-kes jangkitan influenza H5N1 di kalangan manusia apabila ianya berlaku. WHO turut bekerjasama dengan pelbagai agensi dan institusi kesihatan termasuklah World Organisation for Animal Health (OIE) dan Food and Agriculutre Organisation of United Nations (FAO) , bagi mengawal dan menghalang jangkitan di kalangan haiwan.
Kesimpulannya, orang ramai dinasihatkan agar tidak panik dan hanya perlu merujuk maklumat-maklumat sahih yang dikeluarkan oleh pihak-pihak berwajib.
Selain itu, orang ramai dinasihatkan agar :
- segeralah mendapat rawatan di fasiliti kesihatan jika mengalami gejala dan terdedah kepada ayam mati yang disahkan positif atau kejadian unggas mati secara luar biasa ;
- amalkan pengendalian unggas yang baik seperti memakai penutup mulut dan hidung, sarung tangan, apron dan kasut but;
- bagi penyembelih ayam, penjual dan pemproses daging ayam, mereka hendaklah sentiasa memakai penutup mulut dan hidung, apron, sarung tangan getah atau plastik dan kasut but getah kalis air; dan
- amalkan tabiat membasuh tangan dengan air yang bersih dan sabun.
Disediakan oleh,
Dr. Ahmad Zulfahmi
Pegawai Perubatan
Medical Mythbusters Malaysia
