Alor Gajah: Kira-kira 20 pelanggan yang sedang bersarapan di sebuah warung tergamam melihat aksi pemandu treler sarat dengan muatan simen bergayut pada pintu kenderaan berat itu sebelum melompat keluar untuk menyelamatkan diri dalam kemalangan di simpang tiga Jalan Durian Tunggal-Simpang Gading, Melaka Tengah, 11.30 pagi tadi.
Difahamkan pemandu berusia 40-an itu melompat keluar selepas gagal menghentikan treler yang dipercayai mengalami masalah brek.
Saksi, Mohd Yusof Husin, 55, berkata, pemandu treler itu terjatuh ke kawasan lapang berumput dan patah kaki kiri.
"Treler tanpa pemandu itu kemudian meluncur laju kerana menuruni bukit sebelum melanggar papan tanda dan timbunan batu di bahu jalan.
"Mujur treler itu tidak merempuh warung tempat kami sedang bersarapan," katanya.
Sementara itu, seorang penduduk mahu dikenali sebagai Mazlan berkata, dia bersyukur kerana kejadian berlaku selepas ibu bapa pulang daripada menjemput anak masing-masing di sebuah Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) berhampiran.